Daripada Aishah RA, katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah datang kepadanya dan ketika itu ada seorang wanita di sisi Aisyah. Lantas Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bertanya:
(( Siapakah wanita ini? ))
Jawab Aishah, "inilah si fulanah." Sambil Aishah menceritakan tentang perihal solat wanita itu (dia terlalu rajin menunaikan solat dan adakala sehingga melampaui kemampuannya). Sabda Nabi sollallahu alaihi wasallam:
((Janganlah begitu! Kerjakanlah amalan sebagaimana yang kamu mampu, (dan janganlah sehingga menyusahkan diri kamu). Demi Allah, Dia tidak akan bosan (memberi pahala) sehinggalah kamu sendiri yang bosan (dalam melakukan ibadat akibat terlalu memberat-beratkannya). Sesungguhnya agama (amalan) yang paling dicintai Allah adalah yang dilakukan dengan berterusan dan istiqamah (meski ia amalan yang kecil).
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, dia mendengar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Apabila seseorang itu memeluk Islam, dan Islamnya menjadi baik (dengan dia mengikut ajaran Islam), maka Allah akan menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu. Kemudian setiap amal kebaikan yang dikerjakan akan dibalas dengan sepuluh atau sehingga tujuh ratus kali ganda, namun jika dia melakukan kejahatan, dia akan dibalas setimpal dengan perbuatan itu, kecuali jika Allah mengampunkannya. ))
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Sesungguhnya agama Islam itu mudah, dan barangsiapa yang sengaja memberat-beratkannya, maka sudah pasti dia akan dikalahkan oleh agama(tidak mampu melakukan amal meski yang mudah & ringan, lantas tidak dapat istiqamah dalam beramal).Kerana itu, kerjakanlah setiap suruhan agama, dan berusahalah untuk mengerjakannya sesempurna yang kamu mampu, dan bergembiralah (dengan pahala yang menanti kamu). Dan mintalah pertolongan (juga kekuatan untuk terus beramal) daripada Allah (dengan beribadah) pada waktu pagi, petang, dan sebahagian malam. ))
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قال رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap ganjaran daripada Allah semata-mata, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. ))
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Barangsiapa yang mendirikan solat malam dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap ganjaran daripada Allah semata-mata, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. ))
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Barangsiapa yang keluar berperang di jalan Allah, semata-mata kerana dia beriman kepadaku dan demi membenarkan kerasulanku, maka Allah akan memberinya ganjaran samada harta rampasan perang (seandainya dia hidup), atau dimasukkan ke syurga (seandainya dia syahid). Sungguh, andaikata aku tidak menyusahkan umatku, sudah pasti aku akan menyertai setiap peperangan(kerana terdapat peperangan yang Rasulullah tidak sertai yang dalam bahasa Arab disebut sebagai sariyyah). Aku sangat teringin untuk terbunuh di jalan Allah, kemudian aku dihidupkan semula, kemudian aku terbunuh, kemudian dihidupkan kembali, dan kemudian terbunuh lagi. ))
Daripada Abu Hurayrah RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Barangsiapa yang mendirikan solat pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan ikhlas untuk mendapat pahala daripada Allah semata, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang terdahulu. ))
Daripada Abdullah bin 'Amr RA katanya, Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Sesiapa yang memiliki empat perkara ini, maka dia adalah seorang munafiq yang sebenar-benarnya. Dan sesiapa yang memiliki salah satu daripada empat perkara tersebut, maka dia memiliki sifat orang munafiq, sehinggalah dia meninggalkan sifat itu. Empat sifat tersebut ialah:
1) Apabila diberi amanah, dia mengkhianatinya 2) Apabila berbicara, dia dusta 3) Apabila berjanji, dia memungkirinya, dan 4) Apabila dia bertengkar, dia akan berkelakuan dengan sangat hina. ))
Daripada Abu Hurayrah RA, katanya Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Tanda-tanda munafiq ada tiga: 1) Apabila berbicara, dia dusta, 2) apabila berjanji, dia memungkirinya, dan 3) apabila diberi amanah, dia mengkhianatinya. ))
Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, katanya: Ketika turunnya ayat
{Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.} al-An'am: 82,
para sahabat lalu bertanya: " Siapalah di antara kami yang tidak pernah menzalimi diri sendiri (melakukan dosa)?" Maka turunlah ayat ini:
{sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar} Luqman: 13
(Ayat dari surah Luqman itu diturunkan untuk menerangkan maksud 'kezaliman' yang disebut dalam ayat 82 surah al-An'am)
Daripada al-Ahnaf bin Qais RA, katanya: Suatu hari ketika aku sedang dalam perjalanan untuk menolong seorang lelaki (yang sedang bergaduh), aku terserempak dengan Abu Bakrah. Dia bertanya kepadaku: "Ke mana kamu hendak pergi?" Jawabku: "Aku ingin pergi menolong lelaki itu." Ujarnya: "Pulanglah (dan usah menolongnya)! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Apabila dua orang Muslim bergaduh, dan masing-masing menggunakan pedang (untuk saling berbunuhan), maka si pembunuh dan yang dibunuh akan ke Neraka. ))
Lalu aku (Abu Bakrah) bertanya: "Wahai Rasulullah, tentang si pembunuh, (aku tahu memang sepatutnya dia ke Neraka), tetapi mengapa yang dibunuh juga akan turut ke Neraka?" Maka jawab baginda:
(( Kerana yang dibunuh itu juga sebenarnya berazam untuk membunuh sahabatnya. ))
Daripada al-Ma'rur RA, katanya: Aku bertemu dengan Abu Dzar RA di ar-Rabadzah, dan ketika itu dia memakai pakaian yang sama dengan hambanya. Maka aku pun bertanyakan hal itu kepadanya. Jawab Abu Dzar: Aku pernah mencela seseorang hamba dengan menggelarkan ibunya dengan nama yang tidak baik. Sehubungan dengan itu, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam menegur kesilapanku dengan berkata:
(( Wahai Abu Dzar! Apakah kamu telah mencelanya dengan memberi nama yang tidak baik kepada ibunya? Sesungguhnya perbuatan (mencela orang lain) itu menunjukkan bahawa masih ada sisa-sisa Jahiliyyah dalam diri kamu. Hambamu adalah saudaramu, yang diletakkan Allah di bawah tanggungjawabmu. Oleh itu, sesiapa yang memiliki saudara yang di bawah tanggungjawabnya (hamba), hendaklah dia memberi hamba itu makanan yang sama seperti makanannya, serta pakaian yang sama seperti pakaiannya. Dan janganlah menyuruh mereka melakukan pekerjaan yang di luar batasan kemampuan mereka, akan tetapi, jika kamu terpaksa juga menyuruh mereka melakukan pekerjaan tersebut, maka bantulah mereka. ))
Daripada Ibnu Abbas RA katanya, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:
(( Aku telah diperlihatkan Neraka, dan aku lihat bahawa kebanyakan isinya adalah kaum wanita yang kufur. ))
Baginda ditanya: "Adakah mereka kufur kerana tidak beriman kepada Allah?" (Kufur boleh membawa erti samada ingkar dalam beriman kepada Allah, atau tidak menghargai nikmat/ tidak mengenang jasa atau pemberian)
Jawab baginda:
(( Mereka itu kufur (tidak tahu berterima kasih) kepada suami dan juga segala perbuatan baik yang telah ditujukan kepada mereka. Seandainya kamu melakukan kebaikan kepada mereka setiap masa, namun tiba-tiba suatu ketika mereka mendapati satu kekurangan (yang tidak mereka gemari) daripada engkau, mereka akan lantas berkata: "Sekali pun aku tidak pernah melihat engkau melakukan kebaikan terhadapku." ))
Daripada Sa'd bin Malik RA, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sedang membahagikan zakat kepada sekelompok manusia, dan ketika itu aku duduk berdekatan baginda. Tetapi aku lihat Rasulullah tidak memberikan zakat itu kepada seorang lelaki ini, sedangkan setahu aku, dia adalah yang terbaik dalam kelompok itu. Maka aku pun bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau tidak memberikannnya kepada si fulan itu? Demi Allah, aku menganggapnya sebagai seorang Mukmin (yang beriman). Jawab baginda:
(( Atau dia seorang Muslim ))(Memanggil seseorang itu Muslim adalah lebih mudah berbanding Mukmin kerana Mukmin itu bererti seseorang yg percaya, dan perkara itu adalah sukar untuk dinilai dengan zahir. Berbanding istilah Muslim, seseorang itu dikatakan Muslim melalui perbuatannya, iaitu apabila dia melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, yang mana ia boleh dinilai melalui zahir)
Aku (Sa'd RA) terdiam sebentar, namun apa yang aku tahu tentang lelaki itu (sebagai seorang yang terbaik dalam kelompok itu) telah menyebabkan aku mengulangi semula pertanyaan tadi. (Aku pun bertanya): kenapa engkau tidak memberikannya kepada si fulan itu? Demi Allah, aku menganggapnya sebagai seorang Mukmin (yang beriman). Jawab baginda:
(( Atau dia seorang Muslim ))
Aku terdiam lagi. Namun, sekali lagi, apa yang aku tahu tentang lelaki itu telah mendesakku untuk mengulangi pertanyaan tadi kepada Rasulullah. Jawab baginda:
(( Wahai Sa'd, sesungguhnya aku memberi (zakat) kepada seseorang sedangkan ketika itu ada orang lain yang lebih aku suka (tetapi aku tidak memberinya), adalah untuk menjaganya, agar jangan sampai dia (orang yang menerima zakat itu) dicampak ke dalam Neraka. ))
Daripada Abu Hurayrah RA, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah ditanya: "Apakah amalan yang paling utama?" Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:
(( Beriman kepada Allah dan rasul-Nya ))
Tanya orang itu lagi: "Apakah yang selepas itu?" Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:
(( Berjihad di jalan Allah ))
Tanya orang itu lagi: "Apakah yang selepas itu?" Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:
(( Haji yang mabrur )). (Haji yang diterima Allah)
عَنْ سَالِم بن عبدالله ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، مَرَّ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الأنْصَارِ وَهُوَ يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ ، فَقَالَ َرسُولُ الله صلى الله عَلَيهِ وَسَلَّم: " دَعْهُ ، فَإِنَّ الْحَيَاءَ مِنَ الإِيمَانِ
Daripada Salim bin Abdullah RA, daripada bapanya, katanya: Nabi sollallahu alaihi wasallam telah terserempak dengan seorang lelaki Ansar yang sedang mengingatkan saudaranya tentang sifat malu (saudaranya itu seorang yang pemalu). Lantas Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Biarkanlah dia dengan sifat pemalu itu, sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada iman. ))
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, katanya: Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
(( Dalam tidurku, aku bermimpi melihat manusia, ada di antara mereka memakai baju yang labuhnya sampai ke paras dada, dan ada pula yang labuhnya kurang daripada itu. Dan diperlihatkan kepadaku juga 'Umar al-Khattab, ketika itu dia sedang memakai baju yang diseretnya kerana terlalu labuh. ))
Para sahabat bertanya: "Maka apakah takwilan anda terhadap mimpi itu?"
Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam, baginda bersabda:
(( Apabila ahli syurga masuk ke Syurga, dan ahli neraka masuk ke Neraka, Allah akan berfirman: "Keluarkanlah (dari Neraka) orang-orang yang dalam hatinya ada iman meskipun hanya sebesar biji sawi". Lalu mereka pun dikeluarkan daripada Neraka, akan tetapi ketika itu tubuh mereka telah menjadi warna hitam kerana hangus terbakar, maka mereka dicampakkan ke dalam sungai yang bernama Hayaa' atau Hayat (Imam Malik yang meriwayatkan hadith ini tidak pasti yang mana satu antara Hayaa' atau Hayat). Kemudian mereka itu tumbuh dan hidup kembali, sebagaimana tumbuhnya benih berhampiran saluran banjir. Tidakkah engkau melihat bahawa ia (benih itu) akan tumbuh kekuning-kuningan dan dalam keadaan berpintal. ))
Daripada Anas RA, daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam, sabda baginda:
(( Terdapat tiga perkara yang apabila seseorang itu memilikinya, dia akan merasai kemanisan iman:
1) Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya mengatasi kecintaannya terhadap perkara- perkara lain
2) Seseorang yang mencintai orang lain semata-mata kerana Allah
3) Seseorang yang benci untuk kembali kepada kekufuran, selepas Allah menyelamatkannya daripada kekufuran itu, sebagaimana dia benci untuk dicampak ke dalam api neraka. ))
Daripada Aishah RA, katanya: Kebiasaannya jika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam menyuruh para sahabat melakukan sesuatu amalan, baginda akan menyuruh mereka melakukan amalan-amalan yang mudah dan mampu mereka laksanakan. Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami ini bukanlah seperti anda, kerana sesungguhnya Allah telah mengampunkan segala dosa anda yang telah lalu dan juga yang akan datang." Rasulullah berasa marah dengan kata-kata mereka, dan kesan kemarahan itu terlihat pada wajah baginda. Kemudian baginda bersabda:
(( Sesungguhnya di antara kalian, akulah orang yang paling bertaqwa dan paling mengenali Allah. ))
Daripada Abu Sa'id al-Khudri, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Akan tiba masanya di mana sebaik-baik harta seseorang Muslim itu ialah kambing biri-biri, yang digembalanya di puncak-puncak bukit, dan juga di tempat air hujan berkumpul (lembah-lembah). Dia memencilkan diri daripada orang ramai demi menjaga agamanya dari malapetaka dan bencana. ))
Daripada 'Ubadah bin As Samit RA, dan beliau adalah salah seorang sahabat yang menyertai peperangan Badar, dan juga turut mengikut Nabi sollallahu alaihi wasallam pada pertemuan malam Aqabah, katanya: "Suatu ketika, saat Rasululullah sollallahu alaihi wasallam dikelilingi sekumpulan para sahabat, baginda bersabda:
(( Berjanjilah kalian kepadaku, bahawa kalian:
1) tidak akan menyekutukan Allah dengan apa pun,
2) tidak akan mencuri,
3) tidak akan berzina,
4) tidak akan membunuh anak-anak kalian,
5) tidak akan menabur fitnah,
6) tidak akan ingkar terhadap perintah untuk melakukan kebaikan.
Maka barangsiapa di antara kalian yang menepati janji ini, Allah lah yang akan memberi ganjarannya, dan barangsiapa yang melanggar salah satu antara janji ini dan dia menerima hukuman (atas perbuatan itu) di dunia, maka itu adalah sebagai kaffarah (penebus kesilapan) baginya. Namun barangsiapa yang melanggar salah satu antara janji ini, tetapi Allah menutupi kesilapannya itu (tiada siapa yang tahu dan dia terselamat daripada dihukum di dunia ini), maka hal itu terpulang kepada Allah, sama ada mahu mengampunkannya atau menyeksanya (di Akhirat kelak). ))
Maka kami semua berjanji kepada Baginda sollallahu alaihi wasallam tentang perkara-perkara tersebut.
عن أنس – رضي الله عنه – أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين
Daripada Anas RA, katanya: Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Tidak akan sempurna iman seseorang di antara kamu sehinggalah dia mencintai aku lebih daripada kecintaannya terhadap bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya. ))
عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال :لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Daripada Anas RA, daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam, sabdanya:
(( Tidak akan sempurna iman seseorang antara kamu sehinggalah dia menyukai untuk saudaranya (yang Muslim) perkara yang disukai untuk dirinya sendiri. ))
عن عبد الله بن عمرو أن رجلا سأل النبي صلى الله عليه وسلم : أي الإسلام خير ؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
Daripada Abdullah bin Umar RA, katanya: Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam, katanya: "(Amalan) Islam yang mana satukah yang paling baik?" Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:
(( Memberi makan (kepada orang-orang miskin) dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali atau yang tidak engkau kenali. ))
عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهم، عن النبي صلى الله عليه وسلم: "المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه
Daripada Abdullah Ibnu Umar RA, daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam, sabdanya:
(( Seorang Muslim itu adalah orang yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti Muslim yang lain, dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) itu adalah orang meninggalkan segala larangan Allah. ))
عن ابن عمر رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة والحج وصوم رمضان
Daripada Ibnu Umar RA, katanya: Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Agama Islam itu terbina di atas 5 perkara: (1) Penyaksian/ pengakuan bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad Shollallahu alaihi wasallam adalah Rasulullah, (2) Mendirikan solat, (3) Membayar zakat, (4) Mengerjakan ibadah Haji, (5) Berpuasa pada bulan Ramadhan. ))
عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها:أن الحارث بن هشام رضي الله عنه سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال يا رسول الله كيف يأتيك الوحي فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أحيانا يأتيني مثل صلصلة الجرس وهو أشده علي فيفصم عني وقد وعيت عنه ما قال وأحيانا يتمثل لي الملك رجلا فيكلمني فأعي ما يقول قالت عائشة رضي الله عنها ولقد رأيته ينزل عليه الوحي في اليوم الشديد البرد فيفصم عنه وإن جبينه ليتفصد عرقا
Daripada 'Aishah Ummul Mukminin RA katanya: Al-Harith ibn Hisham RA pernah bertanya kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam, katanya: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara wahyu diturunkan kepada anda?"
Jawab Rasulullah sollallahu alaihi wasallam:
(( Adakalanya (wahyu) itu datang kepadaku seolah-olah bunyi deringan loceng, dan (cara seperti) itulah yang paling berat bagiku. Dan apabila aku mampu mengerti wahyu yang disampaikan, bunyi itu akan berhenti. Adakalanya pula malaikat akan menjelma kepadaku sebagai seorang lelaki, dan dia akan berbicara kepadaku sehinggalah aku mengerti wahyu yang disampaikan. ))
Kata 'Aisyah RA: Aku pernah melihat wahyu turun kepada Baginda pada satu hari yang amat sejuk. Setelah wahyu itu berhenti turun, aku melihat keringat yang amat banyak membasahi dahi Baginda.
عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه )
Daripada Umar bin Al khattab, katanya: Aku mendengar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
(( Sesungguhnya setiap perbuatan itu beserta niat, dan setiap perbuatan individu dinilai berdasarkan apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, hijrahnya itu akan mendapat pahala hijrah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana mencari imbalan duniawi atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya, baginya ganjaran hijrah sesuai dengan apa yang diniatkannya. ))
Alhamdulillah akhirnya saya dapat merealisasikan niat untuk membuka satu blog yang khusus untuk menterjemah hadith-hadith dalam Sahih Bukhari. Hal ini kerana saya diberitahu bahawa setakat ini masih belum ada terjemahan hadith-hadith Sahih Bukhari ke dalam Bahasa Melayu Malaysia dalam bentuk buku.
Mungkin ada blog lain yang seumpama ini tetapi wallahua'lam. Saya memohon agar teman-teman membantu saya dengan membetulkan terjemahan saya dan beri cadangan yang lebih sesuai dan tepat dengan maksud hadith.