Memaparkan catatan dengan label 'Ubadah bin As Samit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 'Ubadah bin As Samit. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Mac 2011

BAB: IMAN hadith no. 41

عن عُبَادَة بْنُ الصَّامِتِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يُخْبِرُ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ ، فَتَلَاحَى رَجُلَانِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ ، فَقَالَ : إِنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ ، وَإِنَّهُ تَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ ، فَرُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمُ ، الْتَمِسُوهَا فِي السَّبْعِ وَالتِّسْعِ وَالْخَمْس


Daripada 'Ubadah bin As Samit RA, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah keluar untuk mengkhabarkan kepada para sahabat tentang malam al-Qadar. Dalam perjalanannya, baginda terserempak dengan dua orang Muslim yang sedang bertengkar. (Ketika bertemu sahabat), maka Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:

(( Sesungguhnya aku telah keluar dari rumah untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang waktu malam al-Qadar, tetapi kebetulan dalam perjalananku, aku telah terserempak dengan dua orang yang sedang bertengkar, lantas aku jadi lupa (tentang waktu yang tepat bagi malam al-Qadar). Mudah-mudahan kelupaan aku ini berguna untuk kalian. (Sebagai dorongan kepada umatnya untuk mencari al-Qadar pada setiap 10 malam terakhir). Carilah malam tersebut pada malam ketujuh, kesembilan dan kelima (pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan). ))


Ahad, 13 Februari 2011

BAB: IMAN hadith no. 13

عنَّ عُبَادَة بْنَ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، وَكَانَ شَهِدَ بَدْرًا وَهُوَ أَحَدُ النُّقَبَاءِ لَيْلَةَ الْعَقَبَةِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ وَحَوْلَهُ عِصَابَةٌ مِنْ أَصْحَابِهِ : " بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لَا تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا ، وَلَا تَسْرِقُوا ، وَلَا تَزْنُوا ، وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ ، وَلَا تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ ، وَلَا تَعْصُوا فِي مَعْرُوفٍ ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَرَهُ اللَّهُ فَهُوَ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ " ، فَبَايَعْنَاهُ عَلَى ذَلِك .



Daripada 'Ubadah bin As Samit RA, dan beliau adalah salah seorang sahabat yang menyertai peperangan Badar, dan juga turut mengikut Nabi sollallahu alaihi wasallam pada pertemuan malam Aqabah, katanya: "Suatu ketika, saat Rasululullah sollallahu alaihi wasallam dikelilingi sekumpulan para sahabat, baginda bersabda:

(( Berjanjilah kalian kepadaku, bahawa kalian:

1) tidak akan menyekutukan Allah dengan apa pun,

2) tidak akan mencuri,

3) tidak akan berzina,

4) tidak akan membunuh anak-anak kalian,

5) tidak akan menabur fitnah,

6) tidak akan ingkar terhadap perintah untuk melakukan kebaikan.

Maka barangsiapa di antara kalian yang menepati janji ini, Allah lah yang akan memberi ganjarannya, dan barangsiapa yang melanggar salah satu antara janji ini dan dia menerima hukuman (atas perbuatan itu) di dunia, maka itu adalah sebagai kaffarah (penebus kesilapan) baginya. Namun barangsiapa yang melanggar salah satu antara janji ini, tetapi Allah menutupi kesilapannya itu (tiada siapa yang tahu dan dia terselamat daripada dihukum di dunia ini), maka hal itu terpulang kepada Allah, sama ada mahu mengampunkannya atau menyeksanya (di Akhirat kelak). ))

Maka kami semua berjanji kepada Baginda sollallahu alaihi wasallam tentang perkara-perkara tersebut.