Rabu, 20 Julai 2011

BAB: ILMU hadith no. 56

عن عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ ، عَنْ أَبِيهِ ، ذَكَرَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَعَدَ عَلَى بَعِيرِهِ وَأَمْسَكَ إِنْسَانٌ بِخِطَامِهِ أَوْ بِزِمَامِهِ ، قَالَ : أَيُّ يَوْمٍ هَذَا ؟ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ سِوَى اسْمِهِ ، قَالَ : أَلَيْسَ يَوْمَ النَّحْرِ ؟ قُلْنَا : بَلَى ، قَالَ : فَأَيُّ شَهْرٍ هَذَا ؟ فَسَكَتْنَا حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهُ سَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ ، فَقَالَ : أَلَيْسَ بِذِي الْحِجَّةِ ؟ قُلْنَا : بَلَى ، قَالَ : " فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا ، لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ ، فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ


Diceritakan oleh Abu Bakrah RA, katanya: Ketika rasulullah sollallahu alaihi wasallam duduk di atas untanya, sambil seseorang memegang tali pengikatnya, baginda bertanya:

(( Hari apakah hari ini? ))

Kami diam. Kami fikir baginda sollallahu alaihi wasallam akan menamakannya dengan nama lain (selain nama yang kami sudah sedia tahu). Lantas sabda baginda:

(( Bukankah hari ini ialah hari Nahr? ))

Jawab kami:

"Benar." Kemudian baginda bertanya lagi:

(( Bulan apakah bulan ini? ))

Sekali lagi kami diam. Kami fikir baginda sollallahu alaihi wasallam akan menamakannya dengan nama lain (selain nama yang kami sudah sedia tahu). Lantas sabda baginda:

(( Bukankah bulan ini ialah bulan Dzul hijjah? ))

Jawab kami:

"Benar." Kemudian baginda bersabda:

(( Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, dan maruah kamu adalah terpelihara (daripada dicerobohi) antara kamu, sebagaimana terpeliharanya kehormatan hari ini (hari Nahr), pada bulan ini (dzul hijjah), di negeri kamu ini (Mekah). Maka hendaklah orang yang hadir pada saat ini menyampaikan (apa yang telah didengarinya daripadaku) kepada yang tidak hadir. Boleh jadi orang yang tidak hadir pada saat ini akan lebih memahami (apa yang aku katakan) berbanding orang yang hadir. ))


(hari Nahr adalah hari untuk menyembelih binatang korban, iaitu pada 10 dzul hijjah atau dikenali sebagai Hari Raya Aidil Adha.)

Selasa, 19 Julai 2011

BAB: ILMU hadith no. 55

عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَهَبَ وَاحِدٌ ، قَالَ : فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ ، وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا ، فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ ، أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ


Daripada Abu Waqid al-Laitsi RA, ketika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sedang duduk di dalam masjid bersama beberapa orang sahabat (mereka duduk dalam bentuk bulatan/halqah), tiga orang telah datang, akan tetapi hanya dua daripada mereka yang datang kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam kerana yang ketiga telah berlalu pergi. Ketika dua orang itu tadi berdiri di hadapan baginda, salah seorang dari mereka terlihat ada satu ruang duduk kosong pada bulatan (halqah) kami dan lantas duduk. Manakala yang seorang lagi duduk di belakang bulatan tersebut dan orang yang ketiga terus sahaja berpaling dan pergi.

Setelah Rasulullah solallallahu alaihi wasallam selesai menyampaikan ceramahnya, baginda bersabda:

(( Akanku beritahu kepada kalian tentang tiga orang itu; orang yang pertama telah mencari tempat di sisi Allah (masuk ke dalam majlis ilmu tentang agama Allah), maka Allah memberinya tempat (diberi pahala). Orang yang kedua malu (untuk meninggalkan majlis agama), maka Allah turut malu (untuk menghukumnya, bahkan turut memberinya pahala). Manakala orang yang ketiga, dia telah berpaling (dari menghadiri majlis agama), maka Allah juga berpaling darinya (Allah tidak peduli tentangnya dan marah kepadanya). ))

BAB: ILMU hadith no. 54

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، قَالَ : كَتَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِتَابًا أَوْ أَرَادَ أَنْ يَكْتُبَ ، فَقِيلَ لَهُ : إِنَّهُمْ لَا يَقْرَءُونَ كِتَابًا إِلَّا مَخْتُومًا ، فَاتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ فِضَّةٍ نَقْشُهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَيَاضِهِ فِي يَدِهِ ، فَقُلْتُ لِقَتَادَةَ : مَنْ قَالَ نَقْشُهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ؟ قَالَ : أَنَسٌ .


Daripada Anas bin Malik RA, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pernah menulis surat atau berkeinginan untuk menulis surat, lantas dikatakan kepada baginda:

"Sesungguhnya mereka (para pembesar negeri lain) tidak akan membaca utusan yang tiada cop padanya.

Lalu baginda sollallahu alaihi wasallam mengambil cincin perak yang terukir di atasnya 'Muhammad Rasulullah' dan dijadikan cop. (Kata Anas RA), aku terasa seolah-olah kilauan putih cop itu masih terbayang di mataku ketika ia berada di tangan nabi sollallahu alaihi wasallam.

Syu'bah RA bertanya kepada Qatadah RA:

"Siapakah yang memberitahu bahawa ukiran itu adalah 'Muhammad Rasulullah'?"

Jawab Qatadah RA: Anas.

Isnin, 16 Mei 2011

BAB: ILMU hadith no. 53

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ ، " أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ بِكِتَابِهِ رَجُلًا وَأَمَرَهُ أَنْ يَدْفَعَهُ إِلَى عَظِيمِ الْبَحْرَيْنِ ، فَدَفَعَهُ عَظِيمُ الْبَحْرَيْنِ إِلَى كِسْرَى ، فَلَمَّا قَرَأَهُ مَزَّقَهُ ، فَحَسِبْتُ أَنَّ ابْنَ الْمُسَيَّبِ ، قَالَ : فَدَعَا عَلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُمَزَّقُوا كُلَّ مُمَزَّقٍ


Abdullah ibn 'Abbas RA menceritakan, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah mengutuskan seorang lelaki (Abdullah bin Huzafah As Sahmi) untuk menyampaikan sepucuk surat daripada baginda kepada pembesar Bahrain. Kemudian pembesar Bahrain itu pula menyampaikan surat tersebut kepada pembesar Parsi.

Setelah pembesar Parsi membaca isi kandungan surat tersebut, dia lalu mengoyakkannya. (Salah seorang perawi mengatakan:) Aku rasa Ibnu Musayyab ada mengatakan:

"Disebabkan perbuatan pembesar Parsi itu, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah berdoa agar Allah akan mengoyakkan (menghancurkan) pula kerajaan mereka."

(Doa Nabi sollallahu alahi wasallam dimakbulkan Allah. Kerajaan Parsi ditimpa huru-hara dan pembesarnya dibunuh oleh anaknya sendiri. Akhirnya kerajaan itu hancur sama sekali dan dikuasai oleh Muslimin).


Ahad, 15 Mei 2011

BAB: ILMU hadith no. 52

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ ، يَقُولُ : بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ فِي الْمَسْجِدِ دَخَلَ رَجُلٌ عَلَى جَمَلٍ وَأَنَاخَهُ فِي الْمَسْجِدِ ثُمَّ عَقَلَهُ ، ثُمَّ قَالَ لَهُمْ : أَيُّكُمْ مُحَمَّدٌ ؟ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَّ مُتَّكِئٌ بَيْنَ ظَهْرَانِيهِمْ فَقُلْنَا لَهُ : هَذَا الرَّجُلُ الأَبْيَضُ الْمُتَّكِئُ ، فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ : يَا ابْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : " قَدْ أَجَبْتُكَ " ، قَالَ : لَهُ الرَّجُلُ : يَا مُحَمَّدُ ، إِنِّي سَائِلُكَ فَمُشَدِّدٌ عَلَيْكَ فِي الْمَسْأَلَةِ فَلا تَجِدَنَّ عَلَيَّ فِي نَفْسِكَ ، فَقَالَ لَهُ : " سَلْ مَا بَدَا لَكَ " ، فَقَالَ الرَّجُلُ : نَشَدْتُكَ بِرَبِّكَ وَرَبِّ مَنْ قَبْلَكَ ، آللَّهُ أَرْسَلَكَ إِلَى النَّاسِ كُلِّهِمْ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَّ : " اللَّهُمَّ نَعَمْ " ، فَقَالَ : أَنْشِدُكَ اللَّهَ ، آللَّهُ أَمَرَكَ أَنْ نُصَلِّيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَّ : " اللَّهُمَّ نَعَمْ " ، قَالَ : فَأَنْشِدُكَ اللَّهَ ، آللَّهُ أَمَرَكَ أَنْ نَصُومَ هَذَا الشَّهْرَ مِنَ السَّنَةِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَّ : " اللَّهُمَّ نَعَمْ " ، قَالَ : أَنْشِدُكَ اللَّهَ ، آللَّهُ أَمَرَكَ أَنْ تَأْخُذَ هَذِهِ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَتَقْسِمَهَا عَلَى فُقَرَائِنَا ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَّ : " اللَّهُمَّ نَعَمْ " ، فَقَالَ الرَّجُلُ : آمَنْتُ بِالَّذِي جِئْتَ بِهِ وَأَنَا رَسُولُ

مَنْ وَرَائِي ، وَأَنَا ضِمَامُ بْنُ ثَعْلَبَةَ أَخُو بَنِي سَعْدِ بْنِ بَكْرٍ

Daripada Anas bin Malik RA, katanya, ketika kami duduk bersama Rasulullah sollallahu alaihi wasallam di dalam masjid, telah datang kepada kami seorang lelaki yang menaiki seekor unta, setelah itu dia menambat unta tersebut. Kemudian dia bertanya kepada para sahabat yang berada di situ:

"Siapakah di antara kalian yang bernama Muhammad?"

Dan ketika itu Nabi sollallahu alaihi wasallam sedang duduk bersandar di antara para sahabat. Maka jawab kami:

"Itulah dia (yang bernama Muhammad), lelaki yang berkulit putih dan sedang bersandar."

Kata lelaki itu kepada Nabi:

"Wahai anak Abdul Mutalib!"

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Aku sedia menjawab persoalan kamu. ))

Kata lelaki itu lagi:

"Aku ingin menanyakan beberapa soalan yang agak sukar, kerana itu aku berharap agar engkau tidak akan berasa marah kepadaku."

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Tanyalah apa sahaja yang sedang bermain dalam fikiranmu. ))

Kata lelaki itu:

"Dengan nama Tuhanmu dan Tuhan manusia sebelummu, apakah Allah telah mengutuskanmu kepada sekalian manusia?"

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Ya Allah, benar! ))

Lelaki itu bertanya lagi:

"Dengan nama Allah aku bertanya kepadamu, apakah Allah telah memerintahkanmu untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam?"

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Ya Allah, benar! ))

Tanyanya lagi:

"Dengan nama Allah aku bertanya kepadamu, apakah Allah telah memerintahkanmu untuk berpuasa pada bulan ini (Ramadhan) pada setiap tahun?"

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Ya Allah, benar! ))

Tanyanya lagi:

"Dengan nama Allah aku bertanya kepadamu, apakah Allah telah memerintahkanmu untuk mengambil sedekah (zakat) daripada orang-orang kaya untuk dibahagikan kepada orang-orang miskin?"

Jawab Nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Ya Allah, benar! ))

Lantas lelaki itu berkata:

"Aku beriman dengan (risalah/agama) yang engkau bawa. Sesungguhnya aku ini adalah utusan dari kaumku, namaku Dhimam bin Tsa'labah, saudara Bani Sa'd bin Bakr.

Rabu, 11 Mei 2011

BAB: ILMU hadith no.51

عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : إِنَّ مِنَ الشَّجَرِ شَجَرَةً لَا يَسْقُطُ وَرَقُهَا وَإِنَّهَا مَثَلُ الْمُسْلِمِ، حَدِّثُونِي مَا هِيَ ؟ قَالَ : فَوَقَعَ النَّاسُ فِي شَجَرِ الْبَوَادِي ، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ : فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَاسْتَحْيَيْتُ ، ثُمَّ قَالُوا : حَدِّثْنَا مَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ : هِيَ النَّخْلَةُ



Daripada Ibnu Umar RA, katanya: Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:

(( Di antara pokok-pokok yang tumbuh, terdapat satu pokok yang daunnya tidak akan gugur, dan pokok itu adalah perumpamaan bagi orang Muslim. Terangkanlah kepada aku, pokok apakah itu? ))

Orang yang hadir ketika waktu itu lalu meneka-neka bahawa pokok tersebut adalah pokok yang hidup dalam hutan tebal. Aku pula (Ibnu Umar) merasakan bahawa pokok yang dimaksudkan adalah pokok kurma. Tetapi aku malu untuk menyuarakan jawapanku. (kerana di kalangan mereka yang hadir ketika itu, Ibnu Umar adalah yang paling muda)

Kemudia mereka berkata: Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepada kami pokok apakah itu? Jawab nabi sollallahu alaihi wasallam:

(( Pokok kurma ))


Makluman

Assalamualaikum.

Baru-baru ini saya dapati laman web ini tidak dapat dipaparkan dengan sempurna (terutamanya tulisan bahasa arab) sekiranya dibuka menggunakan browser Mozilla. Jika sesiapa mendapati masalah yang sama, mungkin boleh membukanya menggunakan IE atau Google Chrome.

Harap maklum.

BAB: ILMU hadith no. 50

عنْ عبدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ، قَالَ : تَخَلَّفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنَّا فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا، فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقْنَا الْصلاةُ ، فَنحن نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا ، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ : وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ مرَّتيْنِ أَوْ ثلَاثًا


Daripada Abdullah bin 'Amru, katanya: Dalam satu perjalanan, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah terlewat menyertai kami, dan ketika baginda menyusul kami, kami sedang mengambil wudhu' untuk menunaikan solat yang telah terlepas waktunya, sehingga menyebabkan kami cuma menyapu air pada kaki (tidak sempurna membasuhnya). Rasulullah yang melihat perbuatan kami ketika itu lalu menegur dengan suaranya yang tinggi sebanyak dua atau tiga kali:

(( Celakalah tumit-tumit yang dibakar api neraka!)) (kerana tidak terkena air dengan sempurna ketika wudhu')


Jumaat, 11 Mac 2011

Harap maaf. Sekali lagi blog ini mungkin tidak dapat di update sekurang-kurangnya sehingga seminggu kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Rabu, 9 Mac 2011

BAB: ILMU hadith no. 49

عَنْ أبي هريرة، قَالَ : بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ ، فَقَالَ : مَتَى السَّاعَةُ ؟ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ : سَمِعَ مَا قَالَ ، فَكَرِهَ مَا قَالَ ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ : بَلْ لَمْ يَسْمَعْ ، حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ ، قَالَ : أَيْنَ السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ ؟ قَالَ : هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ ، قَالَ :إِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ ، قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا ؟ قَالَ : إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ


Daripada Abu Hurayrah RA, katanya: Ketika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sedang berbicara kepada sebilangan besar orang dalam satu majlis ilmu, seorang A'rabiy (Badwi) telah datang dan bertanya kepada baginda:

"Bilakah akan berlakunya hari Qiamat?"

Rasulullah sollallahu alaihi wasallam meneruskan kata-katanya terhadap orang-orang yang datang dalam majlis itu (tanpa menjawab pertanyaan orang Badwi itu). Lantas beberapa orang berkata:

"Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mendengar pertanyaan orang itu, tetapi nampaknya baginda tidak sukakan pertanyaan sebegitu." Beberapa orang yang lain pula berkata:

"Rasulullah sollallahu alaihi wasallam tidak mendengar pertanyaan itu."

Setelah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam selesai menyampaikan kata-katanya, baginda bertanya:

(( Di manakah orang yang bertanya (tentang hari qiamat) tadi? ))

Jawab lelaki Badwi itu:

"Aku di sini Ya Rasullallah!"

Kata Rasulullah (menjawab persoalan tadi):

(( Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari qiamat (berwaspadalah akan kedatangannya kerana ia amat hampir). ))

Tanya lelaki itu lagi:

"Apakah maksud amanah disia-siakan?"

Jawab baginda sollallahu alaihi wasallam lagi:

(( Apabila sesuatu urusan iu dipertanggungjawabkan kepada orang yang bukan ahlinya (yang tidak tahu menguruskannya atau yang tidak jujur dalam menunaikannya), maka tunggulah kedatangan hari Qiamat (berwaspadalah akan kedatangannya kerana ia amat hampir). ))